Tuesday 20 March 2012

Judi Sabung Ayam: 28 Termasuk Wanita Didenda RM2,500

SHAH ALAM: Empat lelaki tempatan dan 24 rakyat Indonesia termasuk seorang wanita, didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bermain judi sabung ayam, bola golek dan belangkas, dua minggu lepas. Majistret Nurul Syahida Zainal turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulanke atas dua lelaki warga Indonesia yang menghadapi tuduhan sama.
Semua tertuduh yang berumur antara 26 dan 57 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak belakang kuil Hindu berhampiran landasan keretapi Seksyen 17 di sini pada kira-kira 11.15 pagi, 11 Mac lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dihukum mengikut Seksyen 7(7) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sepasukan polis yang menjalankan pemerhatian ternampak sekumpulan lelaki berkumpul, disyaki berjudi, dan setelah memperkenalkan diri,semua tertuduh bertempiaran lari sebelum berjaya ditangkap.
Pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai wang tunai RM340 dan peralatan yang disyaki digunakan untuk permainan judi sabung ayam, bola golek dan belangkas.
Selain peralatan itu, sejumlah 12 ekor ayam telah dirampas pihak polis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan mereka, dan masyarakat tidak melakukan kesalahan yang sama.
"Sebahagian besar tertuduh adalah warga Indonesia dan diberi peluang untuk mencari kerja halal di Malaysia, tetapi telah menyalahgunakan peluang itu untuk melakukan jenayah," katanya. - BERNAMA

Tuesday 31 January 2012

SELAMAT DATANG

assalamualaikum WBT. pertamanya bersyukur kehadrat ilahi kerana dengan limpah rahmatnya kita masih lagi bernafas di atas mula bumi ini. segala puji bagi Allah tuhan pencipta sekalian alam. selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW.

Tujuan website ini diwujudkan adalah bagi membantu orang ramai dalam memahami perkara-perkara berkaitan dengan institusi syariah di negara ini termasuklah dari segi perundangan, mahkamah syariah, masalah rumahtangga, pemahaman posedur-prosedur Mahkamah Syariah di Malaysia, aduan, pertanyaan dan sebagainya. pihak kami akan cuba sedaya upaya menerangkan dan menjelaskan segala masalah yang bermain di fikiran anda semua.

Pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan, komen, cadangan dan sebagainya bagi kita sama-sama mendapat ilmu dan sesuatu yang berguna yang mana dapat membantu kita semua di masa akan datang.

akhir kata, sama-samalah kita saling bantu membantu kerana ianya merupakan asas kekuatan kita sebagai umat Islam. Bak kata pepatah, yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. wassalam.